Ahad, 15 Mac 2020

BAGAIMANA KITA MAHU TABAH DALAM MENGHARUNGI SEGALA UJIAN YANG DILALUI


Assalamualaikum w.b.t, setelah sekian lama saya tidak menulis blog. Akhirnya dengan izin Allah SWT, saya dapat meluangkan masa saya untuk menulis blog untuk kali ini walaupun sudah masuk tahun 2020 ni, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dilalui, dengan kesibukan masa untuk membuat segala assignment dan tugasan yang perlu difokuskan terlebih dahulu, aktiviti-aktiviti di asrama dan juga aktiviti di kolej yang perlu saya sertai. Pertama kali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pembaca-pembaca setia blog saya. Selain itu, saya juga baru terlibat dalam dunia blogger ini pada akhir tahun 2019 yang lalu, jadi saya ingin memohon maaf atas banyak kekurangan dalam gaya penulisan saya atau persembahan blog saya. Tujuan saya ingin menulis dalam entri kali ini adalah saya ingin membuat perkongsian tentang ‘Bagaimana Kita Mahu Tabah Dalam Mengharungi Segala Ujian Yang Dilalui’.

1.    Kesabaran adalah kunci segala ketabahan (Patience is the key to make you strong)
Kita sebagai seorang khalifah di muka bumi ini perlu ingat bahawa kehidupan kita tidak akan terlepas dengan ujian hidup. Setiap insan di muka bumi ini juga menghadapi berlainan ujian daripada orang lain. Hal ini kerana Allah mahu uji keimanan kita semua untuk uji sejauh mana kita bersabar dengan ujian yang Allah berikan kepada kita. Oleh sebab itu, kita kena pegang kata-kata ini iaitu ‘kesabaran adalah kunci segala ketabahan’ dan kita harus belajar  untuk sematkan kata-kata itu di dalam lubuk hati kita. Bak kata artis Sweet Qismina, ‘Patience is the key’ tetapi saya tambah ayat dalam kata-kata hikmah tersebut menjadi ‘Patience is the key to make you strong’. Maksudnya di sini adalah walau apapun yang terjadi terhadap diri kita, walau sepahit mana pun ujian yang kita lalui, bersabarlah kerana kesabaran itu yang membuatkan kita semakin kuat dan tabah untuk meneruskan kehidupan dan dalam masa yang sama kesabaran itu dapat bantu kita ketika kita berurusan dengan pencipta kita di akhirat kelak.




2.    Tanamkan perasaan cinta dan kasih sayang terhadap Allah SWT
Kita sebagai seorang hamba yang taat pada perintah Allah perlu melahirkan perasaan cinta dan kasih sayang yang sedalam-dalamnya terhadap Allah SWT. Mungkin bukan mudah untuk kita menzahirkan perasaan ini terhadap pencipta kita disebabkan iman kita yang terlalu nipis, tetapi kita haruslah sentiasa berusaha untuk mencintai Dia dan mendapatkan cinta Dia. Apabila kita tanamkan perasaan ini terhadap Allah SWT dengan seikhlas hati, kita akan redha dengan apa pun ujian yang Dia bagi terhadap kita. Selain itu, kita juga tidak akan berasa dendam terhadap Allah SWT dengan ujian yang Dia bagi terhadap kita dan kita juga akan ingat bahawa ujian yang Allah SWT beri terhadap kita disebabkan Allah menyayangi diri kita dan Allah mahu kita mengingati-Nya selalu. Oleh itu, kita sebagai seorang hamba perlu menanamkan sifat cinta yang sedalam-dalamnya terhadap pencipta kita.



3.    Sayangi Diri Sendiri
Kadangkala, apabila kita ditimpa ujian yang berat, kita akan rasa stress, tertekan, kemurungan dan kurang keyakinan diri. Ya, memang betul kita mesti akan rasa sedih apabila kita menghadapi pelbagai masalah ataupun pelbagai ujian dalam masa yang sama sebab kita adalah seorang manusia. Allah juga anugerahkan pelbagai perasaan seperti sedih, suka, marah, dan kecewa kepada hambanya yang bernama manusia. Tapi kita perlu ingat bahawa bukan kita sahaja yang menghadapi masalah, orang di sekeliling kita juga menghadapi masalah dan ujian yang berlainan. Mungkin masalah mereka lebih berat daripada masalah kita tetapi mereka simpan perasaan sedih mereka dan tidak menunjukkan kepada orang ramai kerana mereka mahu orang sekeliling mereka berasa selesa dengan diri mereka apabila melihat mereka tersenyum. Jadi, kita harus kuat dan kita juga harus tabah apabila kita menghadapi masalah. Kalau kita rasa kita nak nangis, ambil masa, dan nangislah sepuas-puasnya, luahkan kepada Allah dan berdoalah kepada Allah terlebih dahulu. Setelah itu, luahkan perasaan itu terhadap keluarga kita, atau sahabat yang boleh kita percayai. Setelah kita selesai menangis, sematkan dalam diri kita yang kita perlu kuat, dan kita juga perlu tabah untuk diri kita sendiri. Kita harus move on, tinggalkan masalah yang lama dan bangkit untuk melakukan sesuatu perubahan dalam diri kita. Insyaallah, Allah akan permudahkan segala urusan kita untuk meneruskan kehidupan.


4.    Sentiasa memaafkan orang yang timbulkan masalah dengan kita
Walau seteruk mana pun orang itu buat kita sakit hati, walau sepahit mana pun balasan yang diberikan kepada kita walaupun kita berbuat baik padanya, maafkanlah mereka. Ya, betul . Bukan mudah untuk memaafkan orang yang buat kita sakit hati, tapi belajarlah untuk memaafkan kerana setiap orang membuat kesilapan dan kita semua tidak lari daripada kesilapan. Apabila kita membuat kesilapan, kita juga perlukan kemaafan daripada orang lain atas kesilapan yang kita buat. Selain itu, kebaikan yang boleh kita dapat apabila kita memaafkan orang lain adalah hati akan rasa tenang dan tenteram tanpa perlu merasa hasad dengki dan sakit hati pada orang sekeliling kita. Jadi, kita perlulah belajar untuk memaafkan orang lain yang buat salah dengan kita sama ada secara sengaja atau tidak supaya apabila giliran kita terbuat kesilapan pada orang lain, kita dapat kemaafan yang seikhlas hati daripada orang yang kita terbuat silap terhadapnya.


5.    Jangan Putus Asa
Apabila kita ditimpa masalah, kita jangan sesekali berputus asa kerana Allah tidak suka hambanya yang berputus asa. Ya, memang betul. Kadang-kadang kita rasa give up untuk teruskan kehidupan dengan pelbagai masalah yang dihadapi, tapi kita perlu ingat bahawa Allah hantarkan masalah itu kepada kita supaya kita jadi lebih matang dan mahu uji keimanan kita semua. Jadi, apabila setiap kali kita rasa ‘down’ atau kita rasa kita ingin berputus asa, kita kena berdoa dan minta kepada Allah supaya kuat untuk menempuhi ujian yang Allah beri bukan minta untuk lari dari ujian kerana kita semua tidak lari dari ujian, tapi walaupun kita diberi ujian yang pelbagai, dalam masa yang sama Allah juga beri kita nikmat yang tidak terkira seperti udara untuk bernafas, sumber makanan untuk meneruskan kehidupan, kesihatan yang baik dan pelbagai lagi nikmat yang Allah beri terhadap kita. Jadi, persoalannya, adakah kita pernah bersyukur dengan segala nikmat yang Allah beri terhadap kita? Oleh itu, kita haruslah jangan cepat putus asa dan bangkitlah untuk teruskan kehidupan dan teruskanlah usaha untuk mengatasi segala masalah yang dilalui.


Akhir kata, semoga apa yang dikongsikan dalam entri kali ini dapat memberi manfaat kepada pembaca semua. Selesai baca, kongsilah kepada sahabat atau rakan anda di laman sosial supaya kita semua dapat belajar untuk menjadi seorang yang tabah dalam mengharungi segala ujian. 


ULASAN LAGU CINTA SEMENTARA - THE TRUTH

Assalamualaikum w.b.t, setelah sekian lama saya tak membuat posting dalam blog ini, saya ingin menceritakan pengajaran yang kita boleh dapat...