Rabu, 13 Mei 2020

AMALAN YANG BOLEH KITA AMALKAN SEPANJANG 10 MALAM TERAKHIR BULAN RAMADHAN

Assalamualaikum w.b.t, seperti yang kita tahu, pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan inilah kita dituntut oleh Allah SWT untuk memperbanyakkan amal ibadah dan mencari malam lailatul Qadar. Hal ini kerana malam Lailatul Qadar ini adalah lebih baik daripada malam seribu bulan. Selain itu, 10 malam terakhir ini juga saat yang ditunggu-tunggu oleh setiap hamba Allah yang beriman dan sentiasa merindukan Allah SWT untuk mendapatkan pengampunan daripada Allah SWT. Jadi, harini Miera ingin kongsikan tentang apa amalan yang boleh kita buat sepanjang 10 malam terakhir bulan Ramadhan.

 

1.    Mencari Malam Lailatul Qadar

Seperti yang kita tahu, malam Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada malam seribu bulan dan malam Lailatul Qadar juga adalah suatu anugerah yang Allah SWT beri kepada seluruh umat islam kerana malam Lailatul Qadar adalah satu malam yang mulia dan mempunyai banyak kelebihan yang tidak terdapat pada malam-malam lain sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al- Quran) pada malam taqdir (Lailatul Qadar). Dan tahukah kamu apakah malam taqdir (Lailatul Qadar) itu? Malam taqdir itu (Lailatul Qadar) lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar.”  Jadi, cara untuk kita cari malam Lailatul Qadar adalah memakmurkan 10 malam terakhir di bulan Ramadhan dengan melakukan amal ibadah dan berdoa kepada Allah sebanyak yang mungkin.


Carilah Lailatul Qadar Di 10 Malam Terakhir Ramadan

 

2.    Melakukan aktiviti Qiamullail

Qiamullail ialah berjaga pada waktu 2/3 malam (paling afdal pukul 04.30 pagi) untuk beribadah kepada Allah. Kalau korang nak tahu, Qiamullail juga adalah suatu ibadah yang sangat dituntut untuk dilakukan pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa solat malam pada bulan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampunilah dosa-dosanya yang telah lampau.” (HR Al Bukhari-Muslim)


nik-faiz-sujud-qiamullail • Nik Faiz - Malaysia's 1st Certified ...

 

3.    Membaca Al-Quran

Salah satu kebaikan yang boleh kita dapat apabila kita membaca Al-Quran pada bulan Ramadhan adalah pahalanya akan dilipatgandakan daripada hari-hari yang biasa. Jika 1 huruf dicatatkan 10 kebaikan (rahmat) daripada Allah, maka pada bulan Ramadan, ganjarannya akan dikira sehingga 700 kali ganda daripada kebaikan membaca Al-Quran pada hari biasa. Hal ini yang boleh kita lihat betapa besarnya pahala yang Allah kurniakan kepada kita apabila kita rajin membaca Al-Quran. Selain itu, kita juga digalakkan untuk membaca terjemahan al-Quran dan tafsirnya, dan berfikir secara mendalam mengenai maksud yang disampaikan di dalam Al-Quran dalam erti kata lain disebut Tadabbur Al-Quran. Nescaya ia dapat meningkatkan lagi keimanan kita apabila kita memahami setiap apa yang tersurat dan tersirat dalam kitab Al-Quran.


Qu'ran kareem | Agama, Kaligrafi islam, Bingkai foto

 

4.    Memperbanyakkan doa kepada Allah SWT

Apabila kita tengah duduk diam, atau tengah baring di atas katil, apa kata sambil-sambil kita berehat, kita berdoa dan bermunajat kepada Allah dalam hati kita. Doa dan mohonlah banyak-banyak kepada Allah apa yang kita mahu. Selain itu, pada waktu selepas solat, kita juga boleh mencuba untuk berdoa dengan lebih panjang dan lebih dihayati makna-maknanya. Bagi yang sudah biasa dengan surah yang panjang, baca terjemahan dan penjelasan serta hayati makna daripada surah yang kita bacakan itu. Abu Huraira r.a., berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Apabila berakhir satu pertiga malam, Allah Yang Amat Terpuji turun ke langit bumi dan berfirman: Siapakah yang berdoa untuk Ku? Siapa yang berdoa untuk Ku memohon apa-apa akan Ku perkenankan. Dan yang yang memohon keampunan kepada Ku, Aku akan memaafkannya.” (HR Al Bukhari- Muslim)


Doa Selepas Solat Fardhu Beserta Maksud. Ringkas & Senang Ingat

 

5.    Bertaubat dan melazimi istighfar

Apabila setiap kali kita merasa penat, marah, sedih dan sebagainya. Lazimilah istighfar agar dapat meredakan perasaan yang tidak elok itu. Kita juga digalakkan untuk muhasabah diri dan menyesali perbuatan dosa yang kita lakukan dan sentiasa bertaubat kepada Allah SWT. Hal ini kerana waktu 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan juga adalah waktu yang terbaik untuk kita bertaubat kepada Allah SWT dan sentiasa melazimi istighfar. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristigfar) kepada Allah karena aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR Muslim). Baginda merupakan orang yang paling banyak beristighfar dan bertaubat kepada Allah meskipun terpelihara daripada dosa. Sedangkan Rasullullah SAW yang terpelihara daripada dosa pun sentiasa rajin untuk beristighfar dan bertaubat kepada Allah, takkanlah kita umatnya yang sering melakukan dosa setiap hari tidak boleh meluangkan masa untuk beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Betul tak? Jadi, muhasabah balik diri kita.

Amazing Power of Istighfar | Get 3 FREE trial Quran Classes ...

 

Akhir kata, rebutlah peluang untuk melakukan amal ibadah pada 10 malam terakhir di Bulan Ramadhan dan carilah malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir tersebut. Semoga kita semua dilimpahi rahmat Allah SWT dan dapat manfaat daripada apa yang disampaikan dalam blog kecil yang tak seberapa ini. Terima kasih juga kepada kawan-kawan yang sentiasa membaca blog ini.

Happy Ramadan Quotes 2020


ULASAN LAGU CINTA SEMENTARA - THE TRUTH

Assalamualaikum w.b.t, setelah sekian lama saya tak membuat posting dalam blog ini, saya ingin menceritakan pengajaran yang kita boleh dapat...