Rabu, 8 Julai 2020

ULASAN LAGU CINTA SEMENTARA - THE TRUTH


Assalamualaikum w.b.t, setelah sekian lama saya tak membuat posting dalam blog ini, saya ingin menceritakan pengajaran yang kita boleh dapat melalui sebuah lagu yang baru sahaja didendangkan di laman Youtube pada 03 Julai 2020 iaitu lagu Cinta Sementara daripada kumpulan The Trvth di bawah naungan Tarbiah Sentap. Kumpulan ini terdiri daripada 2 orang penyanyi iaitu Naufal Isa dan Irwan Fariz dan lagu ini juga adalah single pertama beliau dalam kumpulan The Trvth. Pertama sekali apa yang saya boleh ulaskan tentang pengajaran di dalam lagu ini adalah kita sebagai khalifah di muka bumi ini hanyalah sebagai musafir. Hal ini bermakna dunia yang kita jejaki sekarang hanyalah tempat persinggahan kita untuk menuju akhirat. Segala amalan yang kita buat di dunia ini juga akan dihisab di akhirat kelak.  Selain itu, kita jangan tertipu dengan cinta manusia atau cinta terhadap dunia yang melampaui batas. Hal ini kerana apabila kita terlalu kejarkan cinta terhadap manusia atau cinta terhadap dunia yang melampaui batas, kita akan rasa sakit, kita akan rasa tak bahagia, kita akan rasa tak puas dan hati kita tidak akan berasa tenang. Apabila kita terjebak dengan cinta sementara dan cinta terhadap dunia yang melampaui batas, kita akan terdedah dengan perbuatan maksiat. Seperti yang kita tahu, maksiat ini ibaratnya macam dadah, sekali kita buat, kita akan rasa nak buat berkali-kali kerana kita tak pernah puas dengan maksiat yang kita lakukan. Oleh itu, selagi belum terjebak dengan cinta sementara, jagalah diri kita daripada melakukan perkara tersebut. Apabila kita mempunyai kisah silam sebegini, bertaubatlah kepada Allah, niat, pasang azam dalam diri supaya dapat meninggalkan perbuatan tersebut dan jadikan kisah silam itu sebagai suatu pengajaran.

 

KENAPA CINTA SEMENTARA ITU SANGAT BAHAYA DALAM DIRI SESEORANG?

Hal ini kerana apabila kita sudah terjebak dengan cinta sementara yang belum halal dan tidak diredhai oleh Allah, kita akan lalai dengan Dia, kita akan abaikan mak ayah kita yang banyak berkorban untuk kita, kita akan pandai berlawan dengan ibu ayah kita, kita akan abaikan sahabat-sahabat kita yang sentiasa bersama dengan kita ketika susah dan senang dan yang paling teruk kita akan sanggup buat apa sahaja untuk memuaskan hati dan nafsu pasangan kita walaupun kita kena gadaikan maruah diri kita sekalipun. Nauzubillahiminzalik! Adakah kita mahu tergolong dalam golongan sebegitu? Adakah kita mahu hidup kita tidak diredhai oleh Allah? Adakah kita tidak mahu masuk ke dalam syurga Allah? Jadi, kepada sahabat-sahabat di luar sana, selagi belum terjebak dengan Cinta Sementara, janganlah cuba-cuba untuk terjebakkan diri dalam Cinta Sementara dan kepada sahabat-sahabat di luar sana yang mempunyai kisah silam sebegini tapi ingin bertaubat kepada-Nya, teruskan perjuangan, dan jangan cepat putus asa, mungkin ada di antara korang semua yang mempunyai kawan-kawan yang tak supportive untuk korang berubah dan ada juga yang memperlekehkan diri korang yang nak berubah, tapi tak bermakna korang perlu putus asa untuk melakukan perubahan. Ingat! Kita berubah bukan kerana manusia, tetapi berubahlah kerana Allah dan Allah juga yang berhak menilai amalan kita di dunia ini.

 

NASIHAT BUAT WANITA DI LUAR SANA

Kita sebagai seorang wanita perlu menjadi tegas dan berani untuk mempertahankan diri daripada dirosakkan oleh lelaki, dan janganlah sesekali mudah memberi hati dan maruah diri kepada lelaki. Ingat! Kalau lelaki rosak, orang takkan tahu dan orang takkan nampak, tapi kalau kita rosak, orang akan mudah nampak yang kita sudah tidak mempunyai dara dan sudah pasti ia akan bagi kesan yang amat pahit seumur hidup kita.

 

NASIHAT BUAT LELAKI DI LUAR SANA

Walaupun kamu dikurniakan kekuatan yang tak sama dengan wanita, tak bermakna kamu boleh pijak maruah wanita sesuka hati, Jaga diri korang daripada merosakkan wanita dan jangan sesekali memberi harapan yang palsu terhadap wanita kerana hati wanita sangat rapuh dan mudah terpengaruh tetapi jadilah lelaki yang hatinya terpaut untuk mendapatkan cinta Allah kerana cinta Dia adalah cinta yang kekal selamanya. Ingat! Mungkin perbuatan korang yang memijak maruah wanita sekarang tak memberi kesan apa-apa kepada korang, tetapi pasti ia akan dibalas di akhirat kelak selagi korang tidak bertaubat dan tidak memohon maaf kepada wanita itu.

 

Akhir kata, kita janganlah memberi cinta kepada orang yang belum tentu akan bersama dengan kita tetapi berilah cinta terhadap pencipta cinta kita. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Naufal Isa dan Irwan Fariz kerana sanggup korbankan masa, tenaga, dan wang ringgit untuk menyiapkan single ini. Semoga pengorbanan dan penat lelah korang dalam menyiapkan single ini dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan jangan putus asa untuk terus-menerus dalam menyampaikan dakwah melalui lagu-lagu sebegini.


ULASAN LAGU CINTA SEMENTARA - THE TRUTH

Assalamualaikum w.b.t, setelah sekian lama saya tak membuat posting dalam blog ini, saya ingin menceritakan pengajaran yang kita boleh dapat...